CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sabtu, 16 Mei 2009

dedikasi buat yang tersayang..

Assalamualaikum,

Dengan izin Allah, kak Ngah dapat siapkan satu blog khas untuk adik-beradik kak ngah yang tercinta. Benarlah pepatah melayu “Air dicincang takkan putus”. Begitulah hidup berkeluarga. Bersepak terajang masa kecil, bercakaran dan bertarik rambut bila tidak puas hati, menjerit dan menangis jika tewas di tangan ‘musuh’..semuanya menjadi kenangan bila sudah besar panjang.

Bila dikenang kini, kadangkala tertawa sendiri. “Ishh..buruknya perangai masa kecik2 dulu..”, tapi itulah SUNNATULLAH yang menjadikan manusia semakin lama semakin matang, semakin bijak berfikir, dan dengan itu juga semakin berat tanggungjawab yang dipikul. Kerana itulah tidak dihitung amalan kanak-kanak sehinggalah dia baligh (cukup umur). Cantik kan Islam?

Hari ini kak ngah masih lagi di Jordan, berpisah dengan mak ayah, adik-beradik serta keluarga dan sahabat handai yang lain. Orang kata, makin berjauhan, makin tebal kerinduan. Ya, bila berjauhan begini, baru terasa ingin menghargai setiap detik bersama keluarga. Pernah sekali kak ngah menitiskan air mata ketika berbual dengan Mujahid di telefon. “Kak ngah bila nak balik? Rindulaah”. Suara sebak cuba ditahan. Budak kecil sebesar dia sudah pandai melafazkan kalimah ‘rindu’. Ah, seronoknya menjadi anak bongsu, banyak pengajaran dikaut dari abang-kakak. Sedangkan kak ngah sendiri mengenal erti rindu ketika di bangku sekolah menengah (kusyen barangkali).

Hari ini, adik-beradik kita sudah besar panjang. Dewasa barangkali. Kak long telah pun selamat melahirkan anak sulungnya, Inas Nailah setelah lebih kurang 10 bulan mendirikan rumahtangga bersama abang long (abg Iwan). Awa mewarisi kak long untuk meneruskan pengajian di KUIS dalam bidang IT. Begitu juga Imah yang memilih untuk menceburi bidang Ekonomi. Wah, adik-beradik perempuan kita semuanya sudah berjaya melangkah ke alam kampus! Dan sekali lagi korang bertiga di tempat yang sama (sedari sekolah lagi) dan kak ngah juga yang berbeza, seperti biasa hehe..


Iqin juga telah mengikuti jejak langkah kak ngah dengan berhijrah dari sekolah ‘keturunan’. Bermakna solihin satu-satunya adik kak ngah yang tinggal di asrama ketika ini. Salikin dan mujahid juga sudah bersekolah, yang hanya beberapa meter dari rumah. Masih lewat ke sekolah macam kakak-kakak korang dulu ke? Hehe..sekali lagi mengimbas kenangan..

Hari ini, kak ngah ‘share’kan blog ni dengan semua, agar menjadi medan untuk kita bertukar-tukar cerita dan mungkin akan menjadi kenangan kita suatu masa nanti…

Buat mak ayah, terima kasih atas didikan dan peliharaan kalian berdua. Sesungguhnya kak ngah tidak mampu membalasnya melainkan dengan doa – moga kalian sentiasa di dalam rahmatNya dan dikasihi Allah s.w.t sepanjang masa.

Wassalam.

dari -> kak Ngah